Saturday, 1 March 2014

Adenan Bukan Calang-Calang Orangnya

KUALA LUMPUR:  Apabila Tan Sri Adenan Satem hari ini secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak, lanskap politik negeri Bumi Kenyalang itu pasti melangkah ke arah satu era baharu.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana Adenan akan mengemudi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Barisan Nasional (BN) Sarawak?



Apakah beliau akan mengekalkan hala tuju yang sudah ditetapkan oleh ketuanya sebelum ini, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memegang tampuk pemerintahan Sarawak selama 33 tahun?

Yang pasti Adenan memikul tugas besar untuk menyatukan kembali anggota partinya di samping mencari penyelesaian kepada perbalahan yang berlaku di kalangan anggota komponen BN di negeri itu.

Ketika ramai penganalisis politik dan ahli politik di negeri itu percaya pentadbiran negeri akan kekal sama seperti sebelumnya, corak kepimpinan Adenan sudah pasti akan diperhatikan.

Apakah Adenan akan mengamalkan pemerintahan seperti pemimpin sebelumnya dan mengekalkan PBB sebagai sebuah parti politik yang berkuasa?

Seperti yang dinyatakan Dr Suffian Mansor, pensyarah kanan sains sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), meskipun Adenan mewarisi PBB yang kukuh, beliau masih perlu memastikan ia kekal teguh.
PBB diwujudkan pada 1972 hasil daripada gabungan Parti Pesaka dan Parti Bumiputera.

“Beliau perlu mengadakan strategi yang baik untuk mengharmonikan masalah dalam negeri. Meskipun PBB tidak mempunyai sebarang masalah, usaha masih perlu dibuat untuk mententeramkan penyokong parti pemimpin tertentu,” beliau memberitahu Bernama dalam satu wawancara.

Terdapat sedikit ketidakpuasan hati apabila ada pihak mempersoalkan mengapa Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu, yang juga Timbalan Presiden 1 PBB, berketurunan Dayak tidak dipilih sebagai pengganti Taib untuk mengambil alih pucuk pimpinan parti.

Kaukus

Berbanding dengan parti politik lain di mana pengganti ketua dibuat berdasarkan hirarki dalam parti, pucuk pimpinan PBB diputuskan oleh kaukus parlimen yang dianggotai Anggota Parlimen, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan senator.

Hakikatnya daripada 14 Anggota Parlimen, hanya ada empat orang daripada Pesaka(dua Dayak, seorang Bidayuh dan seorang Lun Bawang).  Sementara itu, daripada 35 ADUN, 26 adalah Bumiputera dan sembilan daripada Pesaka, menyebabkan Jabu tidak mempunyai kelebihan.

“Meskipun Jabu tidak dipilih kerana sistem kaukus, Adenan masih perlu mententeramkan keadaan. Kita tidak melihat Jabu sebagai masalah tetapi masih ada keperluan mendesak untuk melihat isu ini daripada perspektif Pesaka serta sentimen masyarakat Dayak,” tambahnya.

Bukan itu sahaja, dengan mengambil alih jawatan Ketua Menteri, Adenan juga mewarisi isu tertunggak berhubung dengan pertelingkahan dalaman di kalangan anggota komponen BN seperti Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“SPDP nampaknya ada membuat sedikit kemajuan ke arah perdamaian antara dua golongan dalam parti tetapi tidak bagi SUPP. Meskipun perbalahan dalaman SUPP yang sudah lama berlarutan boleh diselesaikan, tugas besar berikutnya bagaimana untuk mendapatkan semula keyakinan pengundi-pengundi Cina,” jelas Dr Suffian.

Adenan, selepas dinamakan sebagai pengganti ketua menteri, secara terbuka melahirkan harapannya untuk menyelesaikan pertelingkan yang sudah lama berlarutan antara SPDP dan SUPP.

Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan nampaknya akur dengan seruan Adenan dengan mengambil usaha berbaik-baik dengan lima pemimpin beberapa hari lalu termasuk empat ADUN dan seorang bekas Anggota Parlimen yang dipecat daripada parti pada penghujung 2011.

Kelima-lima mereka itu ialah Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Sylvester Entri Muran, Rosey Yunus, Paulus Palu Gumbang dan Datuk Dr Tiki Lafe. Bagaimanapun, lain pula ceritanya dengan SUPP iaitu parti politik tertua di Sarawak.

Bertegang urat

Parti yang kini diketuai Datuk Seri Peter Chin Fah Kui sebagai Presiden bersama pengikutnya manakala bekas timbalan setiausaha agung dan menteri kanan negeri yang bertanggungjawab mengenai Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Wong Soon Koh, masing-masing bertegang urat.
Bagaimanapun, Adenan bukan calang-calang orangnya. Perkara ini turut ditegaskan bekas naib-presiden PBB, Datuk Salleh Japaruddin.

Menurut beliau: “Sebagai peguam yang terlatih, pendekatan politiknya dipandu oleh etika perundangan di mana di mahkamah kita boleh bertarung dengan penentang kita tetapi di luar, kita masih berkawan. Ini adalah pendekatannya.”

Salleh, yang mengenali Adenan sejak kedua-duanya mula memasuki gelanggang politik, berkata Adenan juga mempunyai banyak sifat yang bagus termasuk perunding yang baik, sabar mendengar dan bijak berbicara.
“Meskipun dari awal lagi beliau sudah dikenali sebagai penyokong setia Taib, beliau ini bijak dan berpengalaman.

“Tempoh tiga bulan selepas mengambil alih tampuk pimpinan parti adalah amat penting untuk beliau,” katanya.

- Bernama

Written by Alan Ting

No comments:

Post a Comment